Popia Sira
Posted in : Kerepek on by : Nor Rabiatul Adawiyah
Popia sira adalah sejenis kerepek tradisional Melayu yang popular di Malaysia. Ia terdiri daripada gulungan kulit popia yang telah digoreng dan disaluti dengan karemal sira (Sambal). Kerepek ini sering menjadi pilihan sebagai snek ringan atau hidangan pencuci mulut pada waktu raya mahupun di majlis keramaian. Ia mempunyai rasa yang pedas dan manis yang pasti memuaskan selera sesiapa yang mencubanya.
Bahan Masakan
- 1 Paket Popia Kulit Tawar (dipotong dua bahagian setiap helaian)
- 7 Ulas Bawang Putih (ditumbuk halus)
- 3 Sudu Besar Cili Kisar
- 1/2 Cawan Gula
- Air Secukupnya
- Bijan Secukupnya
- Minyak Masak Secukupnya
- 2 Sudu Kecil Tepung Gandum (dibancuh bersama sedikit air)
Cara Penyediaan Popia Sira
- Potong kulit popia kepada dua bahagian bagi setiap helaian.
- Gulung kulit popia menggunakan straw dan lekatkan hujungnya menggunakan bancuhan tepung yang telah disediakan.
- Potong gulungan popia kepada saiz kecil atau mengikut citarasa anda, kemudian biarkan seketika selama 10 minit bagi popia menjadi sedikit kering dan keras.
- Goreng dalam minyak yang panas sehingga warna popia kuning keemasan. Kemudian, angkat dan toskan.
- Tumis bawang putih yang siap ditumbuk halus bersama cili kisar seketika. Kemudian, masukkan sedikit air ke dalam tumisan tadi. Tumis sehingga air kering dan cili kisar pecah minyak.
- Masukkan gula ke dalam tumisan tersebut dan gaul sehingga tumisan menjadi berbuih ataupun seperti adunan karemal.
- Tutup api masakan dan gaul rata kulit popia yang telah digoreng bersama karemal sira tadi.
- Taburkan bijan secukupnya dan gaul rata.
- Ratakan di atas dulang dan sejukkan popia sira tadi sebelum masukkannya ke dalam balang.
- Kerepek popia ini kini siap untuk dihidangkan pada Hari Raya!
Selamat mencuba dan selamat menyambut Hari Raya! Untuk resepi seterusnya, mari kita buat kerepek popia nestum pula.
Minat makan, mendorong penulis kepada minat memasak.
Mencuba dan mengolah resipi, seterusnya menulis resipi masakan yang enak untuk dikongsi.