Spaghetti Aglio Olio
Posted in : Makanan Barat on by : Nor Rabiatul Adawiyah
Spaghetti Aglio Olio adalah masakan barat yang berasal dari Itali. Ianya bukan sahaja mudah untuk disediakan malah rasanya pasti menyelerakan bagi semua peringkat umur. Di sini kami kongsikan resepi mudah untuk menyediakan spaghetti aglio olio bagi rujukan anda. Selamat mencuba.
Bahan Masakan
- 8 Ulas Bawang Putih (diketuk)
- 2 Kiub Pati Ayam
- 205g Chiu Chow Style Chilli Oil
- 1kg Udang (dibuang kulit dan dibersih belakang badannya)
- 500g Spaghetti Kimball
- Minyak masak secukupnya
- Garam secukup rasa
Cara Penyediaan Spaghetti Aglio Olio
- Cuci bersih kesemua udang dan rebus udang tersebut di dalam air mendidih sehingga cukup masak. Toskan udang yang siap direbus tersebut.
- Rebus spaghetti kimbal di dalam air mendidih bersama sedikit garam dan minyak masak sehingga lembut dan cukup masak. Setelah masak, toskan spaghetti tersebut.
- Panaskan minyak dan tumis bawang putih yang siap diketuk bersama kiub pati ayam sehingga bawang putih bertukar warna kuning keemasan.
- Masukkan udang yang siap direbus ke dalam tumisan tersebut. Gaul semua bahan tumisan tersebut sehingga sebati.
- Masukkan spaghetti kimbal yang siap direbus lembut ke dalam tumisan tersebut. Gaul rata semua bahan sehingga sebati.
- Masukkan Chiu Chow Style Chilli Oil dan garam secukupnya, kemudian gaul rata sekali lagi sehingga semua bahan sebati.
- Siap untuk dihidang dan makan.
Penyediaan spaghetti aglio olio ini amatlah mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Ianya sesuai untuk dihidangkan kepada 10 orang tetamu. Sekiranya anda menyukai resipi masakan barat ini, anda boleh pula mencuba resipi spaghetti carbonara untuk masakan anda akan datang.
Minat makan, mendorong penulis kepada minat memasak.
Mencuba dan mengolah resipi, seterusnya menulis resipi masakan yang enak untuk dikongsi.